Selasa, 15 Mac 2016

HUJAN ASID

Konsep

Hujan asid ialah hujan yang mempunyai nilai pH kurang daripada 5 yang mengandungi gas sulfur dioksida dan nitrogen oksida yang terlepas di udara bercampur dengan air hujan untuk membentuk asid sulfurik dan asid nitrik.Hujan asid secara semulajadi adalah berasid. Ini disebabkan air hujan yang turun akan bergabung dengan karbon dioksida dan gas-gas berasid yang terdapat di atmosfera. Bagaimanapun, disebabkan pada masa kini, penggunaan tenaga elektrik dan kereta telah menyebabkan bahan api fosil di bakar dalam jumlah yang banyak. Pembakaran bahan api fosil seperti minyak dan arang batu oleh logi tenaga dan dari ekzos kenderaan membebaskan berjuta-juta ton sulfur dioksida dan nitrogen oksida ke udara. Bahan pencemar ini disebarkan oleh angin dan akan bergabung dengan titisan air yang turun sebagai air hujan lalu membentuk asid sulfurik dan asid nitrik.
         
Faktor

Kejadian hujan asid boleh berpunca daripada aktiviti manusia ataupun berlaku secara semulajadi. Melalui kegiatan manusia, kegiatan industri yang dilakukan menghasilkan sulfur dioksida dan nitrogen melalui pembakaran bahan api fosil di kilang-kilang dan pembakaran arang batu bermutu rendah menyebabkan pembebasan gas sulfur dioksida yang banyak ke atmosfera.

Kedua, proses peleburan biji timah yang banyak akan membebaskan gas sulfur dioksida terutamanya peleburan timah kuprum.Ketiga, kegiatan pertanian juga punca berlakunya hujan asid iaitu melalui penggunaan baja nitrogen yang akan menghasilkan gas nitrogen.

Manakala pembakaran terbuka yang dilakukan oleh petani-petani untuk membakar plastik baja dan sisa kayu akan membebaskan sulfur dioksida. Di samping itu, binatang ternakan seprti lembu akan membebaskan gas metana dan oksida nitrus melalui pereputan najisnya dan akan menghasilkan hujan asid nitrik.

Keempat, aktiviti sistem pangangkutan juga merupakan salah satu penyumbang berlakunya hujan asid melalui pembebasan asap ekzos pada suhu tinggi di silinder kereta menyebabkan pembebasan gas nitrogen dioksida dan nitrik oksida.


Hujan asid juga berlaku secara semulajadi. Pertama melalui letupan gunung berapi yang membebaskan gas sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan karbon monoksida.

Kedua, penguraian bahan organik melalui aktiviti bakteria dalam tanah menukarkan nitrat kepada nitrat dan menghasilkan gas nitrogen semasa hujan kilat. Selain itu, penguraian bahan organik dan najis haiwan oleh bakteria anaerobik mengakibatkan penurunan sulfur seperti desulfovibrio di mana ianya menukarkan sulfat kepada nitrogen sulfida.

Ketiga, kebakaran hutan secara semuladi akibat cuaca terlalu panas iaitu kejadian el-nino mengakibatkan gas-gas pencemar seperti gas nitrogen terbebas.



Kesan

Hujan asid mendatangkan pelbagai kemudaratan terhadap beberapa aspek tertentu iaitu dari aspek kesihatan, kesuburan tanah dan tumbuhan, ekosistem akuatik dan bangunan serta peralatan bangunan. Dari segi kesihatan, ia memudaratkan golongan tidak kira tua mahu pun muda terhadap penyakit asma.Bagi kanak-kanak pula fenomena ini boleh menyebabkan batuk, alergi dan selsema. Gas sulfur dioksida pula adalah merupakan agen kepada beberapa penyakit seperti sakit dada, tulang, batuk, sakit kerongkong, barah kolon dan barah payu dara. Selain itu ia menyebabkan berlakunya penyakit kulit, keroskan tisu badan manusia yang menggunakan bekalan air dari sungai, tasik dan empangan yang terdedah kepada hujan asid.

Selain itu hujan asid juga memberi kesan terhadap tanah dan tumbuhan. Hujan ini menyebabkan kemusanahan hutan kerana terkena hujan asid. Contohnya di Czechslosvakia, 70% daripada hutannya musnah diseababkan hujan asid ini. Hujan asid menyebabkan kandungan asid dan alkali menjadi tidak seimbang dan mempengaruhi keseimbangan dan kestabilan tanah. Nilai pH yang kurang daripada 6 akan menyebabkan organik tanah mati, maka tanah ini menjadi tidak subur dengan ketiadaan nutrien di dalamnya. Kesannya ia akan menjejaskan produktiviti pertanian khususnya pengeluaran hasil tanaman makanan.Hujan asid yang terkena pada daun pokok akan memusnahkan fungsi daun. Ini kerana bahagian daun yang terkena hujan asid ini tidak dapat melakukan proses fotosintesis dengan sempurna.Kesannya pokok akan layu dan mati. Di Jerman, fenomena hujan asid berupaya menggugurkan daun-daun pokok meninggalkan dahan dan ranting. Fenomena ini dinamakan sebagai hutan berangka.Kesan lain ialah pokok akan mati kerana asid bertindak balas dengan nutrien dalam tanah dan mengurangkan kesuburan tanah. 

Ekosistem akuatik juga terganggu disebabkan oleh hujan asid ini. Tumbuhan dalam tasik dan hidupan plankton termusnah akibat penurunan nilai pH air tasik. Ini akan mengganggu kelancaran pembiakan ikan dan amfibia.Manakala ikan dan udang secara tidak langsung merupakan ancaman kepada manusia di mana kandunagan raksa dan asid sulfurik yang tinggi meresap masuk ke dalam kulit haiwan. Apabila manusia memakan haiwan ini akan menyebabkan penyakit barah kolon. Air sungai dan laut yang menjadi berasid pada pH 5 akan membunuh hidupan akuatik dan memutuskan rantaian makanan. Contohnya di Tasik Minnesota di mana hujan asid ini telah memusnahkan 140 buah tasik situ.
         

Di bandar, hujan asid yang turun akan memberi kesan kepada bangunan dan peralatan bangunan. Hujan asid yang turun ke bumi akan terkumpul menjadi pemendapan berasid, ini akan mempercepatkan kadar hakisan dan pengaratan barangan besi. Selain itu, ia akan melunturkan cat kereta dan membocorkan bumbung-bumbung zink. Manakala batuan dan binaan bangunan menjadi lemah dan rapuh serta mempercepatkan hakisan bangunan. 
         
Langkah mengurangkan kejadian hujan asid

Bagi menangani masalah hujan asid yang kian melanda dunia, sejajar dengan perkembangan sains dan teknologi, beberapa langkah selamat boleh dijalankan. Antaranya ialah pertama, tasik yang tercemar boleh dipulih melalui liming di mana batu kapur merupakan bahan utama dan diletakkan ke dalam air tasik yang berasid untuk dineutralkan contohnya di West Wales, Canada yang telah dijalankan proses membaikpulih tasik-tasik yang telah tercemar dengan pHnya ialah antara 5.5 hingga 7.0 .

Kedua, kilang-kilang patut mengehadkan pelepasan gas pencemar udara ke atmosfera dengan menggunakan bahan api yang rendah kandungan sulfur dan secara tidak langsung boleh mengurangkan gas sulfur dioksida. Selain itu, pemasangan ’scrubbers’ di cerobong asap di kilang-kilang patut dilakukan untuk menapis gas sulfur dioksida.

Ketiga, menggalakkan pemasangan pengubah bermangkin pada enjin kenderan, ini dapat mengurangkan gas nitrogen oksida sebanyak 90% di mana gas pencemar dapat diubah sebelum dilepaskan ke atmosfera. Ini bertujuan untuk mengurangkan gas karbon monoksida dan nitrogen oksida asap ekzos. Dari segi perundangan, boleh ditingkatkan lagi mengenai pengawalan pencemaran alam sekitar.

4 WAKTU TERBAIK MINUM AIR MASAK

Kenapa air masak???
Air masak ni akan memelihara kesihatan tubuh, melancarkan sistem metabolisme tubuh serta membantu mengurangkan berat badan kita. Sebabnya, bila air dalam badan kita mencukupi, ia sekaligus dapat membakar kalori dalam tubuh.

Bilakah 4 waktu terbaik untuk minum air masak selain ketika haus?
  • Sebelum tidur
Minum segelas air masak sebelum tidur. Tujuannya bagi mengelakkan kita terkena serangan jantung dan juga strok.
Di mana kedua-dua penyakit di atas merupakan punca kematian terbanyak yang dicatatkan di Malaysia.
  • Bangun tidur
Minumlah 2 gelas air masak bagi mengaktifkan organ dalaman kita.
  • Sebelum mandi
Ada baiknya minum segelas air masak waktu ni. Dapat melancarkan perjalanan darah serta mengurangkan tekanan darah kita.
  • Sebelum makan
30 minit sebelum makan, eloklah minum dulu segelas air masak. Amalan sebegini didapati membantu sistem penghadaman. Di mana perut kita lebih bersedia untuk menerima makanan. Perut tidak jadi terkejut olehnya!

Diabaikan

Ditulis oleh Abu Bakar Bin Yang. Posted in Artikel
Air merupakan anugerah Allah s.w.t. yang amat berharga di dalam kehidupan manusia, tanpanya semua hidupan akan mati. Menurut Kamus Dewan, air boleh didefinasikan sebagai cecair yang terbentuk daripada dua bahagian hidrogen dan satu bahagian oksigen. Secara geografinya, air yang digunakan oleh manusia berpunca daripada air hujan.
Air adalah anugerah Allah yang sangat bernilai kepada seluruh hidupan di mukabumi ini. Air adalah satu sumber keperluan asas yang sangat penting kepada manusia. Manusia mungkin masih boleh hidup dengan selesa selama beberapa hari tanpa elektrik, komputer, internet dan apa-apa sahaja tetapi tidak tanpa air. Krisis air di Lembah Kelang yang melanda negara pada tahun 1998 dan awal tahun 2002 yang lalu adalah bukti jelas bahawa betapa pentingnya air di dalam kehidupan kita. Krisis ini banyak membuka mata masyarakat dan kerajaan tentang kepentingan air.
Kepentingan air kepada kehidupan dan alam seluruhnya memang tidak dapat dinafikan. Sebagai sumber asli yang paling berharga, air diperlukan sebagai kegunaan asasi dan dapat dimanfaatkan bagi tujuan pelbagai aspek kehidupan. Tanpa air, kita mungkin tidak dapat menikmati dan meneruskan penghidupan ini dengan selamat, selesa dan sempurna.
Akrabnya manusia dan segala makhluk yang bernyawa di alam ini dengan air telah diterangkan oleh Allah dalam al Quran:
"Dan daripada air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup, maka mengapakah mereka tiada juga beriman"
Surah al Anbia' : 30
Sebagai sumber yang sangat bermanfaat, air dapat digunakan bagi melaksanakan pelbagai aktiviti kehidupan. Bagi memenuhi keperluan harian, air digunakan sebagai minuman, mencuci, mandi dan keperluan-keperluan lain seperti membersihkan halaman, persekitaran dan menyuburkan tanaman-tanaman. Usaha memanfaatkan air seumpama ini sudah setentunya dapat meningkatkan taraf kehidupan yang sihat sejahtera dan dapat mengelakkan dari segala kekotoran, pencemaran dan penyakit.
Dalam melaksanakan projek-projek pembangunan, air sangat diperlukan di sektor-sektor pertanian, perikanan, perkilangan dan industri-industri lain. Air juga dapat dijadikan sumber ekonomi seperti menjadikannya sebagai minuman yang dibotolkan atau ditinkan, tambahan kepada jus buah-buahan, pencair, pewarna atau sebagai bahan untuk dibuat kajian saintifik. Malah air juga berguna bagi bahan-bahan konkrit untuk membina rumah dan bangunan.
Dari pelbagai sumber air yang ada di muka bumi ini, air sungai dan laut dapat menjadi penyumbang rezeki dan makanan laut yang banyak dan beraneka. Sebagai sumber asli yang meliputi persekitaran, air juga digunakan bagi pengaliran di saluran pembentung-pembentung dan parit-parit serta kawasan tertentu untuk mengelak banjir. Di empangan-empangan air, air juga terus dipelihara dari segi kebersihan, kesihatan dan keselamatannya untuk dapat digunakan. Sebagai air bersih yang terjamin, air digunakan dalam pelbagai cara seperti sebagai pencuci dan membersihkan produk-produk dan hasil-hasil perindustrian dan perusahaan.
Sebagai sumber yang dapat menambah keindahan tempat-tempat rekreasi dan tarikan pelancong, air memainkan peranan penting bagi sesebuah tasik, air terjun atau pantai. Memajukan tempat-tempat seumpama ini bukan saja dapat mengekalkan keindahan alam sekitar yang ada, malah dapat dinikmati bagi memenuhi keperluan dan pembangunan sosio-ekonomi.
Air dan Ilmu Pengetahuan
Di antara ilmu pengetahuan yang berkait langsung dengan air ialah hidrologi. Hidrologi ialah kajian ke atas hidrosfera dan proses-proses pergerakan bentuk-bentuk air di dalam sistem bumi-atmosfera. Secara ringkas, kebanyakan ahli-ahli hidrologi berpendapat bahawa teras hidrologi ialah kajian terhadap 'kitaran hidrologi', iaitu pusingan air (dalam berbagai bentuk - cecair [air], wap [wap air] dan pepejal[ais]). Ahli-ahli hidrologi sentiasa berminat terhadap air sebagai satu sumber yang teragung yang diperlukan oleh semua makluk hidup. Dengan kepentigan air untuk fungsi-fungsi biologi yang tidak dapat dinafikan, ilmu hidrologi juga tertumpu kepada peranan air di dalam sistem bumi-atmosfera. Air mempunyai banyak kepentingan dan fungsi. Air adalah diperlukan untuk: (i) Air Untuk Manusia (ii) Air Untuk Hidupan Lain (iii) Air Untuk Menghasilkan Makanan (iv) Air Untuk Alam Sekitar.
Selain itu, kajian hidrologi adalah tertumpu kepada Air Untuk Alam Sekitar di mana air diperlukan untuk: sfera bumi, hidupan akuatik, hidupan terrestrial/daratan, pemindahan tenaga, penghasilan hujan (air tawar), pemuliharaan/perlindungan hutan, pengawalan aras laut, pembalikan bahangan suria, pengawalan bencana alam, penyerapan dan penyimpanan tenaga haba, pengawalan suhu, air bawah tanah, pengurangan bahan-bahan pencemaran, dan mengekalkan bumi sebagai 'dunia air'.
Air dan Manusia
Jika ditinjau dari segi sejarah, air telah lama digunakan untuk pembangunan. Ini terbukti dengan wujudnya tamadun-tamadun silam di sekitar sungai yang menjadikan tanah tersebut subur dan dibangunkan. Sebagai contoh, tamadun Mesir di sepanjang Sungai Nil, tamadun China purba di Sungai Kuning dan tidak kurang juga penempatan awal di Tanah Melayu adalah di tepi sungai dan dipersisiran pantai.
Air juga merupakan bahan mentah yang penting dalam kebanykan bidang industri dan perusahaan. Contohnya seperti dalam industri pemakanan dan industri pembangunan. Pengeksploitasian air sebagai sumber semula jadi yang mudah didapati ternyata boleh mendatangkan pulangan kepada negara dalam bidang ekonomi dan pembangunan. Pembinaan empangan-empangan juga membolehkan air untuk digunakan untuk menjana kuasa elektrik.
Di dalam sektor perindustrian, penggunaan air semakin kompleks. Dalam usaha menuju negara maju, keperluan air perlu sejajar dengan kepesatan industri moden. Begitu juga jika dilihat keperluan air di bidang pertanian. Secara amnya, tumbuh-tumbuhan memerlukan kuantiti air yang mencukupi. Contohnya sawah padi, memerlukan sistem pengairan yang sistematik. Kawasan ladang, kebun sayur, hutan-hutan dan lain-lain bergantung penuh kepada air untuk hidup subur.
Sektor pertanian merupakan salah satu sektor yang paling banyak bergantung kepada sumber air. Tanpa bekalan air yang cukup, sektor tersebut akan lumpuh dan boleh membawa kepada fenomena kebuluran seperti yang kita lihat terjadi di negara-negara yang bergantung kepada hasil pertanian yang ditimpa kemarau panjang.
Selain daripada itu, air juga penting dalam pembangunan rohaniah. Kita memerlukan air untuk bersuci bagi membolehkan kita beribadat kepada Allah s.w.t. Dalam keadaan bersih dan suci, kita akan menjadi lebih tenang dan khusyuk serta tawaduk untuk beribadat kepada-Nya. Di samping itu, penciptaan yang berkaitan dengan air seperti hujan, sungai, telaga, air terjun dan sebagainya merupakan dalil kebesaran Allah bagi orang-orang yang berfikir.
Oleh kerana air merupakan sumber semula jadi yang amat penting, adalah wajar bagi kita untuk menjaga dan mengelakkan sumber-sumber air daripada tercemar oleh sisa-sisa pembangunan, sedangkan air itu sendiri yang telah banyak membantu dalam pembangunan negara. Sambutan Hari Air Sedunia pada 22 Mac yang disambut setiap tahun bermula pada tahun 1993, telah menampakkan keprihatinan warga global dalam sama-sama menangani dan memata-matai penggunaan dan penjagaan sumber air. Adalah diharapkan agar usaha ini akan berterusan sehingga masa-masa akan datang. Jimatkan penggunaan air kerana air tidak ternilai harganya dan merupakan sebahagian daripada nyawa kita. Allah juga telah mengingatkan kita supaya jangan berlebih-lebihan atau membazir dalam menjalankan apa-apa aktiviti, sebagaimana firman Allah:
".dan janganlah kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan."
Surah al An'am : 141